Sejarah Kota Bharu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kota Bharu telah dibuka dengan rasminya pada tahun 1844 oleh DYMM Sultan Muhammad II sebagai ibu negeri Kelantan yang baru bagi menggantikan Kota Saba yang tidak lagi sesuai untuk dijadikan pusat pentadbiran negeri kerana selalu diancam dengan banjir. Baginda telah bersemayam di sebuah istana yang digelar "Kota Bharu" sempena kota yang baharu dibuka oleh baginda. Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian, istana Kota Bharu tersebut telah ditukar nama kepada Istana Balai Besar ekoran kekeliruan yang timbul di antara nama tempat dan juga nama sebuah istana.

Sejak itu, Kota Bharu telah mengalami proses urbanisasi yang pesat dan menjadi tumpuan penduduk. Hari ini, Kota Bharu telah muncul sebagai bandar terbesar di Pantai Timur Malaysia dengan jumlah penduduk melebihi 400,000 orang.

Penduduk Kota Bharu sememangnya amat kaya dengan budaya yang sungguh unik. Lantaran itu, pada 25 Julai 1991, ibu negeri Kelantan ini telah diisytiharkan sebagai kota budaya oleh DYMM Sultan Ismail Petra. Manakala pada 1 Oktober 2005, ibu negeri Kelantan ini telah diisytiharkan sebagai sebuah bandaraya Islam dengan gelaran "Kota Bharu Bandaraya Islam".

Kota Bharu juga ialah tapak pendaratan angkatan tentera pencerobohan Jepun pada 8 Disember 1941 semasa Perang Dunia Kedua.

6°8′N 102°15′E / 6.133°N 102.250°E / 6.133; 102.250