Ala al-Hadrami

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Ala al-Hadrami (Arab: العلاء الحضرمي, rumi: al-ʿAlāʾ al-Haḍramī; meninggal 635–636 atau 641–642) ialah seorang panglima Islam awal dan pemungut cukai di Bahrain (kini timur Semenanjung Arab) pada zaman Nabi Muhammad sekitar tahun 631 – 632 serta menjadi gabenor Arab Timur 632 – 636 dan 637 – 638 di bawah khalifah Abu Bakar (r. 632–634) dan Umar (r. 634–636). Di bawah Abu Bakar dalam Peperangan Riddah, Ala mematahkan satu pemberontakan oleh seorang keturunan dinasti Lakham yang menyokong Empayar Sasan. Di bawah Umar, beliau melancarkan beberapa ekspedisi tentera laut melawan Empayar Sasan—yang terakhir merupakan kekalahan teruk dan menjadi punca beliau dipecat. Beliau terakhir dilantik sebagai gabenor Basrah tetapi meninggal dunia dalam perjalanan untuk bertugas di sana.

Asal usul[sunting | sunting sumber]

Ala berasal daripada suku Sadif di Arab Selatan.[1] Beliau sekutu Bani Umayah yang kaya daripada bangsa Quraisy Makkah.[2][3] Ala adalah antara orang yang mula-mula memeluk Islam,[3] sebelum pembukaan kota Makkah dan pengislaman besar-besaran orang Quraisy pada tahun 630.

Komander dan gabenor di Bahrain[sunting | sunting sumber]

Ala dihantar oleh Nabi Muhammad untuk mengutip cukai daripada penduduk Bahrain (Arab timur) pada hujung tahun 631 atau awal 632.[2] Penguasa wilayah itu, Munzir bin Suwa, bersekutu dengan Nabi Muhammad. Ala mungkin hanya bertanggungjawab ke atas satu bahagian Bahrain berhampiran Qatif, manakala bahagian lain berhampiran al-Khatt ditadbir oleh Aban bin Said daripada Bani Umaiyah. Ataupun, Aban mungkin telah mengambil alih jawatan beliau sepenuhnya sebelum Nabi Muhammad wafat pada tahun 632.[2]

Selepas kewafatan Nabi Muhammad, puak-puak dari kumpulan Rabiah bin Nizar memberontak terhadap Munzir dan memaksa ejen-ejen cukai Bahrain melarikan diri, mungkin Ala dan/atau Aban, manakala Munzir pula meninggal dunia tidak lama kemudian. Khalifah pertama (pengganti Nabi Muhammad sebagai pemimpin umat Islam) Abu Bakar (r. 632–634) menghantar Ala untuk menguatkan penyokong-penyokong Munzir dan mematahkan pemberontakan.[2] Kumpulan pemberontak diketuai oleh seorang keturunan Lakham, bekas raja naungan Empayar Parsi Sasan. Ala mendapat bantuan daripada puak Abdul Qais yang diketuai oleh Jarud dan mereka mengalahkan pemberontak di Juwatha, di oasis al-Hasa di Bahrain, selepas begitu lama dikepung pemberontak.[4][2] Tentera Arab kemudiannya mengambil alih pulau Darin berhampiran Qatif.[4] Ala terus memerangi orang-orang di Bahrain sehingga akhir tahun 634, pada zaman pengganti Abu Bakar, Umar al-Khattab (r. 634–644).[2]

Peta Bahrain, Yamamah dan Oman pada abad ke-9 – 10.

Di bawah Khalifah Umar (r. 634–644), Ala menakluki kota-kota kara Parsi Sasan di sepanjang pantai Bahrain dan melancarkan operasi tentera laut di bawah Arfaja, salah seorang leftenan beliau, yang menakluki sebuah pulau di pesisir Iran. Tentera Arab berundur dari pulau itu, mungkin kerana Umar, yang menentang kempen tentera laut, tidak bersetuju dengan hal itu.[5] Umar menggantikan Ala dengan Uthman bin Abu al-As al-Thaqafi pada tahun 636 atau 637. Menurut sejarawan bernama Baloch, beliau dipecat kerana dua isu: Umar berasa tidak senang hati mengekalkan seorang gabenor yang diberhentikan oleh Nabi sendiri, dan Uthman meminta jawatan tersebut.[6]

Ala bagaimanapun dilantik semula di Bahrain pada tahun 637 selepas Umar menyuruh Uthman kembali ke jawatan lamanya di Taif, mungkin kerana Umar berasa tidak senang terhadap ekspedisi tentera laut Uthman menyerang pelabuhan-pelabuhan India yang Umar fikir merisikokan keselamatan askar-askar mereka. Kuasa Ala juga mencapai Yamamah yang bersebelahan dengan Bahrain di sebelah barat. Biarpun diperintah jangan, Ala melancarkan ekspedisi tentera laut, sedangkan beliau disuruh menyerang orang Sasan di wilayah Fars.[6] Walaupun ekspedisi itu berjaya, akhirnya kapal tentera Arab karam di laut dan Ala terpaksa diselamatkan.[7] Setelah mendengar apa yang terjadi di Teluk Parsi, Umar mengeluarkan perintah mengutuk dan memecat Ala sebagai gabenor Bahrain dan Yamamah pada tahun 638. Ala ditugaskan semula menjadi askar menentang Sasan di Iraq, di mana beliau ditempatkan di bawah pesaing beliau Saad bin Abi Waqqas.[6] Hukuman Ala kerana melanggar peraturan Umar tentang ekspedisi tentera laut mungkin telah membuat gabenor-gabenor lain di bahagian-bahagian yang berlainan dalam kekhilafahan, seperti Muawiyah bin Abu Sufyan di Syam, supaya tidak memulakan misi tentera laut semasa kepimpinan Umar, walaupun mereka mahu.[6]

Pelantikan ke Basrah dan kematian[sunting | sunting sumber]

Sumber-sumber Islam awal berbeza dalam kematian Ala, sama ada pada tahun 14 Hijrah (635 atau 636 Masihi) atau 21 Hijrah (641 atau 642 Masihi). Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke Basrah, di mana Umar melantiknya sebagai gabenor.[8] Seorang ahli sejarah percaya tarikh 14 Hijrah tidak sepadan dengan rekod karier Ala, manakala seorang lagi sejarawan mendapati tarikh 21 Hijrah kurang berkemungkinan sebagai tahun kematiannya.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Donner 1993.
  2. ^ a b c d e f Shoufani 1973.
  3. ^ a b c Blankinship 1993.
  4. ^ a b Rentz & Mulligan 1960.
  5. ^ Kennedy 2007.
  6. ^ a b c d Baloch 1946.
  7. ^ Smith 1994.
  8. ^ Friedmann 1992.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Baloch, Nabi Bakhsh Khan (Julai 1946). "The Probable Date of the First Arab Expeditions to India". Islamic Culture. 20 (3): 250–266.
  • Blankinship, Khalid Yahya, ed. (1993). The History of al-Ṭabarī, Volume XI: The Challenge to the Empires. SUNY Series in Near Eastern Studies. Albany, New York: State University of New York Press. ISBN 978-0-7914-0851-3.
  • Donner, Fred M., ed. (1993). The History of al-Ṭabarī, Volume X: The Conquest of Arabia, A.D. 632–633/A.H. 11. SUNY Series in Near Eastern Studies. Albany, New York: State University of New York Press. ISBN 978-0-7914-1071-4.
  • Friedmann, Yohanan, ed. (1992). The History of al-Ṭabarī, Volume XII: The Battle of al-Qādisīyyah and the Conquest of Syria and Palestine. SUNY Series in Near Eastern Studies. Albany, New York: State University of New York Press. ISBN 978-0-7914-0733-2.
  • Kennedy, Hugh (2007). The Great Arab Conquests: How the Spread of Islam Changed the World We Live In. Philadelphia: Da Capo Press. ISBN 978-0-306-81585-0.
  • Rentz, G & Mulligan, W. E. (1960). "Bahrayn". Dalam Gibb, H. A. R.; Kramers, J. H.; Lévi-Provençal, E.; Schacht, J.; Lewis, B. & Pellat, Ch. (eds.). The Encyclopaedia of Islam, Second Edition. Volume I: A–B. Leiden: E. J. Brill. hlm. 941–944. OCLC 495469456.
  • Shoufani, Elias S. (1973). Al-Riddah and the Muslim Conquest of Arabia. Toronto: University of Toronto Press. ISBN 0-8020-1915-3.
  • Smith, G. Rex, ed. (1994). The History of al-Ṭabarī, Volume XIV: The Conquest of Iran, A.D. 641–643/A.H. 21–23. SUNY Series in Near Eastern Studies. Albany, New York: State University of New York Press. ISBN 978-0-7914-1293-0.